20 October 2011

Ucapan Perbahasan Belanjawan 2012 - YB Zuraida Kamaruddin [AMPANG]


YANG BERHORMAT PUAN HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
AHLI PARLIMEN AMPANG
UCAPAN PERBAHASAN BELANJAWAN 2012
 
 
*       RM500 Bantuan Sara Hidup - Kualiti Hidup Institusi Kekeluargaan, Liberalisasi Sistem Perbankan dan Penerapan Amalan Cougar Economy.
 
Pembentangan Belanjawan 'Gula-gula' oleh YAB Menteri Kewangan seakan sengaja mahu menyelimuti hakikat kualiti hidup institusi kekeluargaan yang semakin merendah saban hari akibat krisis kenaikan harga barang, peningkatan hutang isi rumah dan tekanan sistem perbankan dan institusi kewangan yang membebani rakyat kini.
 
Realitinya, perlaksanaan kerajaan terhadap kawalan kenaikan harga barangan di bawah formula 'Najibconomic' telah gagal. Kenaikan barangan mentah dan masakan harian terus meningkat, tidak seimbang dengan kadar pendapatan bulanan yang masih di takuk lama.
 
Situasi ini menyebabkan rakyat terpaksa membuat pelbagai pinjaman sampingan bagi menampung tekanan ketidakseimbangan belanjawan yang dihadapi.  Malah ada diantaranya juga terpaksa membuat dua hingga tiga kerja, semata-mata bagi menghadapi krisis kenaikan ini.
 
Buktinya – telah dicatatkan bahawa nisbah hutang isi rumah kepada pendapatan boleh guna rakyat di negara ini telah mencecah sehingga kadar 140 peratus, iaitu merupakan yang tertinggi di dunia. [1]
 
* Tahniah buat Menteri Kewangan atas rekod 'terbaik' ini. Mungkin juga boleh disenarai dalam Malaysia Book of Records.
 
Peningkatan ini sejajar dengan peningkatan kadar pinjaman yang diambil bagi setiap isi rumah, iaitu pada kadar 1.4 kali lebih tinggi berbanding pendapatan yang diperolehi secara bulanan.
 
Untuk rekod dan catitan hansard, hutang isi rumah pada tahun lalu (2010) telah mencecah sehingga RM581.3 billon (peningkatan sebanyak 12.5 peratus berbanding tahun 2009). 
 
Manakala nisbah hutang isi rumah kepada KDNK pada tahun 2010 pula mencecah sehingga 76 peratus.
 
Malahan, nisbah bayar hutang isi rumah juga semakin meningkat iaitu 39.5 peratus pada 2008, 49 peratus pada 2009 dan hanya menurun sedikit kepada 47.8 peratus pada tahun 2010.[2]
 
Dalam erti kata lain - peningkatan hutang dalam keluarga telah memaksa rakyat untuk membuat pelbagai pinjaman sampingan bagi menampungi kos yang tidak termampu untuk dikawal saban bulan. Lebih memgusarkan, ini menunjukkan hampir separuh daripada pendapatan isi rumah digunakan untuk membayar hutang.
 
Ini menyebabkan pendapatan boleh guna rakyat atau pendapatan bersih bulanan rakyat semakin sedikit apabila terpaksa memotong hampir 50% daripada pendapatan bulanan buat pembayaran 'loan installment' (dengan izin) yang tinggi saban bulan.
 
Intrepitasi situasinya:
 
* Sebuah keluarga berpendapatan bulanan sebanyak RM1,500 terpaksa memotong sehingga 50 peratus iaitu sebanyak RM750 sebulan buat pembayaran pinjaman.
 
* Dengan baki pendapatan yang hanya 50 peratus, iaitu hanya RM750 dari RM1,500 pendapatan bulanan, sudah pasti ini memberi kesan yang besar terhadap kualiti hidup harian keluarga, terutama keuarga muda dan keluarga di bandar-bandar.
 
Rakyat golongan pertengahan majoritinya ini akan terpaksa merendahkan kualiti makanan keluarga sehingga ke tahap minimum. Kualiti pendidikan anak-anak mulai terkawal. Malahan, lebih teruk kualiti kesihatan juga terpaksa dilupakan kerana ketidakmampuan ini.
 
Lebih mendukacitakan, kerajaan yang seharusnya bertindak sebagai 'public and society interest caretaker' (dengan izin) juga nampaknya gagal memainkan peranan apabila Bank Negara sendiri dilihat seolah tidak berdaya untuk mengawal tindakan haloba dan tekanan kadar faedah pinjaman yang terus meninggi oleh sistem dan institusi perbankan yang dikenakan terhadap peminjam, yakni rakyat.
 
Tuan Yang Dipertua,
 
Inilah hakikat sebuah dilemma kesengsaraan yang membebani hampir 40 peratus rakyat di negara ini yang berpendapatan hanya RM1,500 sebulan. Maka tidak hairan apabila dicatatkan bahawa hampir 41 orang muflis setiap hari. [3]
 
Persoalan saya,
 
  1. Apakah mekanisma dan jaminan Kerajaan bahawa pemberian RM500 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah secara one-off akan dapat membantu keluarga yang dibebani hutang ini bebas dari tekanan ketidakseimbangan belanjawan isi rumah yang sedang dihadapi kini – bagi menjamin suatu standard kualiti hidup harian yang selesa buat rakyat.
 
Ini kerana, sebagai perbandingan – Belanjawan Jingga 2012 Kerajaan Pakatan Rakyat mengetengahkan tawaran dan mekanisma yang lebih baik dengan menawarkan RM1,000 buat setiap isi rumah berpendapatan RM3,000 kebawah berbanding cadangan Kerajaan BN yang hanya memperuntukkan RM500 sahaja.
 
Malahan, lebih membanggakan, ianya disalurkan kepada suri rumah sebagai mengambil kira bebanan suri rumah. Inilah bukti pelaksanaan konsep Gender Responsive Budget (GRB) dalam pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, yang sehingga kini masih gagal difahami oleh Kerajaan BN.
 
Maka, seharusnya ianya disalurkan melalui isteri-isteri ketua keluarga yang layak seperti yang dicadangkan dalam Belanjawan Jingga Pakatan Rakyat. Ini kerana, logiknya bahawa pengurusan kewangan rumahtangga banyak terletak di tangan para wanita.
 
Secara tidak langsung, melalui pelaksanaan ini juga ini juga mampu untuk memupuk amalan Cougar Economy (dengan izin) sebagai alternatif kepada pembangunan ekonomi keluarga.
 
* Demi Rakyat, mungkin Menteri dan Kerajaan BN harus meladani dan belajar dari Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat.
 
  1. Merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Kewangan baru-baru ini, bahawa proses pengagihan bantuan ini akan diserahkan dibawah tanggungjawab Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan penerima akan diminta untuk mendaftar dan mengisi borang dengan LHDN terlebih dahulu.
 
Apa yang dilihat, secara tidak langsung proses ini akan merumitkan dan membebankan penerima kerana sudah pastinya proses pendaftaran akan mengambil masa yang lama. Malahan proses ini juga seolah sengaja mahu menambahkan red-tape dan birokrasi yang sedia ada, selain membebankan LHDN.
 
  1. Disamping kerajaan merancang untuk meliberalisasikan 17 sub-sektor perkhidmatan, membangunkan Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD), potongan cukai 3 tahun untuk sukuk wakala dan pengecualian cukai pendapatan nagi penerbitannya - tidakkah kerajaan bercadang untuk meliberalisasikan semula sistem dan institusi perbankan di negara ini dahulu.
 
Ini sangat penting agar sistem dan institusi perbankan di negara ini akan turut mengambil kira  'public and society interest' (dengan izin), disamping tidak hanya mengejar untung melalui kadar faedah pinjaman yang meninggi terhadap rakyat semata-mata.
 
*       Perkhidmatan Kanak-kanak dan Warga Emas, Miskin Tegar dan PERMATA.
 
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
 
Dibawah Jabatan Kebajikan Masyarakat kini sudah sedia melaksanakan Program Bantuan Kanak-kanak (BKK) dan Bantuan Orang Tua (BOT) sebagai pelan bantuan buat kanak-kanak miskin dan warga emas yang  miskin dan tidak berkemampuan.
 
Begitu juga dengan setiap kerajaan negeri yang telahpun melaksanakan Skim Bantuan Am dibawah peruntukan Belanjawan Negeri masing-masing.
 
Persoalan saya,
 
1.     Apakah janji Belanjawan 2012 Kerajaan Pusat untuk memberikan sebanyak RM100 sebulan sebagai bantuan kepada kanak-kanak miskin dan RM300 sebulan sebagai bantuan kepada warga emas miskin alah suatu skim baharu atau hanya sebuah dana tambahan buat program BKK dan BOT yang sedia ada?
 
2.     Selain Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Kebajikan Negeri, pihak swasta dan NGO juga memainkan peranan penting dalam membela nasib anak-anak dan warga emas miskin sebegini.
 
Mengapakah kerajaan tidak berhasrat untuk memperuntukkan lebihan bantuan buat pertubuhan dan persatuan NGO sebegini ini, kerana saya pasti ianya pasti akan lebih tersusun dan bantuan yang diberikan akan lebih luas manfaatnya.
 
3.     Bantuan dari setiap sudut diundang dan diterima. Namun masalah yang berlaku kini ialah apabila bantuan yang disumbangkan – tidak kira sama ada melalui peruntukan Kerajaan Pusat, Negeri, NGO mahupun pihak swasta, ianya tidak pernah mengikut aturan tertentu. Adalah amat pelik sekali apabila tiada satu SOP agihan bantuan yang harus dipatuhi di negara ini.
 
Maka, mengambil kesedaran ini, saya merasakan bahawa memusat dan menyeragamkan institusi perkhidmatan bantuan dan kebajikan ini adalah amat penting bagi memastikan agihan bantuan disalur pada yang berhak dan lebih luas manfaatnya, disamping menerapkan budaya telus dan akauntibiti dalam pengurusannya. 
 
4.     Untuk tujuan audit, mohon Kementerian berkaitan menjawab:
 
a)     Sejauh manakah perlaksanaan program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan penubuhan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) mencapai matlamatnya. Ini kerana sehingga kini tiada satu rekod mengenai pencapaiannya dan sasarannya diterbitkan.
 
b)     Benarkah dakwaan bahawa masih terdapat ada beratus-ratus fail permohonan tertunggak dalam simpanan Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan ada diantaranya sudah memakan usia 10 tahun.
 
c)      Berapakah kedudukan bilangan rakyat mskin tegar terkini, yang dikatakan kononnya sudah mencapai pengurangan sebagaimana yang didakwa oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat awal tahun ini bahawa kononnya kerajaan telah berjaya mengurangkan tahap miskin tegar kepada hanya 100 keluarga sahaja.
 
d)     Mengapakah peruntukan buat Program PERMATA dihentikan walhal masih tiada satu pun laporan pencapaian mengenainya dibentangkan.
 
Ini penting kerana sebanyak RM111 juta yang diperuntukkan buat Program PERMATA Negara dalam Belanjawan 2011 lalu harus diaudit dengan segera supaya dapat memastikan agar tiada penyalahgunaan dana awam oleh mana-mana pihak.
 
*       Cukai Keuntungan Pelupusan Hartanah (RPGT) – Jaminan Sifar Projek Terbengkalai dan Kesannya Pada Harga Barangan Asas Pembuatan.
 
Ahli Yang Berhormat,
 
Untuk rekod, Cukai Keuntungan Pelupusan Hartanah (RPGT) telah dikaji dan diinterpreasikan pada 1 Jan 2010 yang lalu.[4]
Namun, perlaksanaannya telah gagal apabila aktiviti spekulasi dalam pasaran hartanah semakin memuncak, sekaligus memberikan tekanan kepada harga hartanah. Perkara ini diakui sendiri oleh YAB Menteri Kewangan sewaktu pembentangan Belanjawan 2012 lalu.
Walaubagaimanapun, pengumuman kadar rata 5% ini seolah tidak dipraktik dan dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Memetik laporan portal berita Bernama berhubung rintihan seorang pelabur,
"Mereka memberitahu saya bahawa bagi dua tahun pertama, cukainya 30 peratus dan penjualan selepas lima tahun, kadar cukainya lima peratus," katanya.
Maka, perbandingan interpretasi RPGT tahun 2010 dan 2012 yang bakal dilaksanakan adalah seperti berikut:
 
Tempoh Penjualan
RPGT 2010
RPGT 2012
Kurang 2 tahun
30%
10%
2 – 5 tahun
Tidak disebut
5%
Lebih 5 tahun
5%
0%
 
Dengan memihak pada pemilik rumah, yakni rakyat, persoalan saya:
1.     Dengan pelarasan kadar cukai RPGT yang semakin menurun, secara tidak langsung dijangka akan turut menigkatkan kadar pegangan dalam pasaran hartanah negara. Pelaburan dan projek pembinaan baharu pastinya akan berlumba masuk dan dibina.
 
Namun, sejauh manakah jaminan kerajaan bahawa perlaksanaan pelarasan RPGT dan penerusan Program Pemulihan Rumah Terbengkalai yang dirancang akan mampu untuk menyelesaikan dilemma projek terbengkalai yang dihadapi oleh pembeli rumah ketika ini.
 
Ini kerana, hakiki fisikal yang dihadapi pembeli kini seolah amat bertentangan dengan ucapan YAB Menteri Kewangan yang memaklumkan bahawa kononnya Program Pemulihan Rumah Terbengkalai telah berjaya memulihkan 82 projek terbengkalai.
 
Saya mohon Menteri berkaitan untuk menerangkan setiap lokasi dan projek berikut secara terperinci kerana sehingga kini masih ada 4 projek utama di kawasan Parlimen saya masih distatuskan sebagai projek terbengkalai - Taman Sri Angsana Hilir, Taman Kencana (Fasa 3), Taman Estana Court dan Projek Perumahan Ukay Bistari.
 
Ahli Yang Berhormat,
 
Saya khuatiri, walaupun secara dasarnya pelarasan dan perlaksanaannya ini adalah sangat baik tujuannya, namun kita tidak mahu apabila banyak wang pelaburan masuk, pemaju untung melalui ikatan kontrak pembinaan yang dimeterai, namun akhirnya projek yang dirancang terus terbengkalai akibat tiada jaminan dan regulasi ketat oleh kerajaan.  
 
Maka, akhirnya pelabur untung, pemaju untung, bank untung, dan rakyat sebagai pembeli teraniaya.
 
Sepenuhnya saya berharap agar RM63 juta yang akan diperuntukkan buat Program Pemulihan Rumah Terbengkalai kelak tidak hanya sekadar untuk memancing undi atau mengkayakan kontraktor kroni Umno semata-mata, sebaliknya digunakan demi membela hak pembeli seadilnya.
 
 
2.     Semua sedia maklum bahawa kadar RPGT banyak mempengaruhi kos industri hartanah dan pembinaan negara, termasuklah sektor pembuatan seperti harga simen, atap genting, bata, keluli, kayu, wayar, cat serta pasir.
 
Impretasi mudahnya, peningkatan pelaburan hartanah akan turut meningkatkan kadar keperluan dan kepenggunaan barangan pembinaan. Peningkatan ini dikhuatiri akan meningkatkan harga barangan-barangan ini sehingga tidak terkawal dan membebankan para kontraktor.
 
Maka, apakah jaminan kerajaan bahawa dengan pelarasan kadar cukai baharu yang akan dilaksanakan pada 1 Januari 2012 ini kelak turut akan mampu menyerap henyakan kenaikan harga dan kehendak antara keduanya agar hasrat memperkasakan kontraktor tempatan tercapai.
 
3.     Saya juga mohon mencadangkan agar pengecualian RPGT keatas pembelian rumah atau hartanah dipertimbangkan kepada transaksi yang melibatkan nama isteri-isteri sahaja.
 
Ini penting bagi menggalakkan pemilikan harta dikalangan wanita serta boleh memyangkir sebarang penganiayaan atau pengabaiyaan nafkah kepada isteri-isteri yang ditinggalkan.
 
*       Mengiktiraf Keupayaan Wanita
 
v  30% Wanita di Peringkat Pembuat Dasar dan Sektor Korporat serta Gender Responsive Budget (GRB)
 
Ahli Yang Berhormat,
 
Hasrat kerajaan untuk mengiktiraf keupayaan wanita di negara ini amat disenangi dan disokong. Namun, secara tidak langsung, hasrat 30% kuota buat wanita di peringkat pembuat dasar dan organisasi swasta juga telah membuktikan betapa ketinggalannya negara ini dalam perihal kesamarataan dan keadilan gender.
 
Ini kerana, hanya setelah 15 tahun Perjanjian Cedaw ditandatangani pada 1995, baru kini kerajaan mahu melaksanakannya.


Malahan, kejujuran kerajaan ini sendiri layak diragui apabila hanya sekadar ucapan, tanpa sebarang tindakan konstruktif seperti ketetapan melalui akta.
 
Maka, saya merasakan adalah sangat mustahil perkara ini mahu direalisasikan selagi Umno memerintah, kerana sedangkan di peringkat parti sendiri Umno telah gagal meletakkan 30% kerusi buat wanita dalam MPT, inikan pula dalam sektor kerajaan dan korporat.


 
Berbeza dengan Keadilan sendiri, kami sentiasa mengiktiraf peranan wanita, malah lebih dari peruntukan kuota 30%. Buktinya lihat sahaja dalam Perlembagaan parti dan organisasi pentadbiran kerajaan Selangor.


 
Saya mengharapkan agar Perdana Menteri dan Kerajaan ada keikhlasan politik PM dalam merealisasikan ketetapan kuota 30% buat wanita dalam kedudukan pembuat dasar dan korporat ini agar:
 
a)     Dengan segera meregulasikannya melalui akta dan peruntukan undang, selain memperuntukkan buat pengukuhan Gender Responsive Budget (GRB) di negara ini, sebagai penambah-sedia kepada rancangan pelan GRB Belanjawan Jingga Pakatan Rakyat.
 
b)     Menyediakan suatu sistem sokongan jagaan dan asuhan yang berkualiti buat wanita muda dan berkeluarga, selain sebagai jaminan buat mereka supaya keluarga dan anak kecil tidak terabai sewaktu mereka bekerja.
 
Para guru asuhan, bangunan dan sistem jagaan haruslah diseragamkan mengikut suatu ketetapan standard bagi menjamin suatu pusat asuhan dan jagaan yang benar-benar berkualiti buat golongan wanita muda-bekerjaya ini.
 
Harus diperingatkan bahawa sistem pusat jagaan dan asuhan yang berkualiti ini sangat penting bagi mencapai matlamat hasrat negara untuk meningkatkan kualiti masyarakat, seiring dengan matlamat untuk mencapai taraf negara maju akan tercapai.
 
Ahli Yang berhormat,
 
v  Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) vs Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR)
 
Alhamdulillah apabila Kerajaan Pusat sedia merendah diri untk meladani dan melaksanakan idea Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR) Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat melalui penubuhan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
 
Hasratnya sama – yakni menyediakan pembiayaan pinjaman mikro kepada usahawan terutamanya wanita, namun hanya namanya berbeza.
 
Namun, cadangan saya agar AIM dan TEKUN disatukan (centralization – dengan izin) supaya pelarasan kerja dan pengagihannya akan dapat dilaksanakan dengan lebih baik dan tersusun. Ini juga bagi mengurangkan kos sampingan minimum yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan
v  Suntikan Percuma Imunisasi HPV (Human Papilloma Virus)
 
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat,
 
HPV adalah sejenis kanser pangkal rahim yang kebiassannya dihidapi oleh  golongan yang mengamalkan kehidupan seksual secara bebas dan aktif.
 
Maka, cadangan kerajaan untuk memperuntukkan sebanyak RM50 juta buat penyediaan 3 kali suntikan percuma imunisasi HPV (Human Papilloma Virus) yang bernilai RM150 setiap satunya bagi mengurangkan bilangan kes kanser servik di kalangan wanita di negara ini amat disambut baik.
 
Namun, melalui suntikan percuma ini juga seolah memperlihatkan bahawa Kerajaan merestui dan memberi jaminan kepada anak gadis kita untuk terus mengamalkan seks bebas serta perlindungan kepada aktiviti tidak bermaruah ini.
 
Langkah ini sekaligus amat bertentangan dengan pendekatan cara Pakatan Rakyat yang merasakan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang bertanggugjawab, kerajaan sewajarnya meningkatkan kesedaran dan pendidikan mengenai bahayanya amalan seks bebas, dan bukan menyediakan jaminan untuk melakukannya seperti apa yang kerajaan Barisan Nasional lakukan kini.
 
Jika disoroti, hasrat kerajaan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hub hiburan malam secara besar-besaran sangat berkait rapat dengan gejala serta perlaksanaan suntikan HPV ini.
 
Apa yang dikhuatiri ialah, suntikan percuma ini nanti akan dilihat sebagai buffet kepada pencegahan gejala seks bebas, selain sebagai lesen kepada generasi muda untuk terus menggamalkan seks bebas dalam pergaulan mereka.
 
v  Hudud – Zakat
 
Pelaksanaan dan galakan kerajaan terhadap amalan seks bebas sebegini juga sangat berkait rapat dengan kegagalan Menteri Agama dan organisai kerajaan keseluruhannya dalam menerangkan isu hudud di negara ini.
 
Ini kerana, sebagai sebuah kerajaan di negara Islam, kerajaan seharusnya menyokong sebuah perlaksanaan undang-undang Islam, dan bukan sebaliknya dengan menghinanya secara melampau. Jika kerajaan punya kesedaran akan keagungan Islam, pastinya isu hudud ini tidak akan disalah tafsir dan dipadang negative.
 
Maka tidak hairanlah apabila wang zakat dihalalkan untuk buat biayai yuran guaman Menteri.
 
 
YB HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
AHLI PARLIMEN AMPANG
 
 
 


[1]  Utusan Online. 26 April 2011. (1)
[2]  Utusan Online. 26 April 2011. (2)
[3]  Akhbar Kosmo. 12 Oktober 2011.
[4] Bernama. 1 Disember 2009.


0 comments:

Post a Comment